Khamis, 25 November 2010

Wasiat

Orang Islam patut mengetahui hukum, kepentingan berwasiat

2010/11/26

Amalan wasiat elak perebutan harta, pergaduhan waris

BERWASIAT bukan satu perkara atau amalan yang baru diperkenalkan. Pada awal permulaan Islam, perintah berwasiat hanya dibuat untuk kedua ibu bapa dan saudara mara terdekat.
<span class="fullpost">
Firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, (hendaklah ia) berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 180) Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Walau bagaimanapun, perintah wajib ini telah dimansuhkan. Menurut kebanyakan sahabat dan Mazhab Sunni yang empat termasuk Imam Syafie, apabila turunnya ayat al-Mawarith (ayat 11, 12, dan 176 surah al-Nisa’) iaitu ayat yang secara khusus menyentuh peruntukan bahagian ditetapkan ke atas waris dalam pembahagian harta pusaka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak, maka tiada wasiat untuk warisnya.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Namun Baginda tetap menggalakkan umatnya supaya membuat wasiat melalui sabda yang bermaksud: “Tidak patut bagi seseorang muslim yang ingin berwasiat tidur selama dua malam, selagi ia tidak menulis wasiatnya di sisinya.” (Muttafaqun Alaihi)

Wasiat disyariatkan melalui nas al-Quran, hadis, amalan sahabat dan ijmak. Berdasarkan amalan, sahabat ada berwasiat sebahagian harta mereka dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Rasulullah juga tanpa jemu mengingatkan pentingnya berwasiat kerana ajal datang tidak diketahui bila dan bagaimana. Jika berlaku kematian secara mengejut kepada orang Islam tanpa membuat perancangan berkaitan hartanya dan tidak berwasiat, maka malang orang yang tidak berwasiat.

Oleh demikian, janganlah berlengah atau bertangguh dengan menggunakan pelbagai alasan remeh yang sering didengar antaranya, saya tidak mempunyai harta untuk diwasiatkan.

Mengikut pendapat sunni yang empat dan al-Zaidiyyah, walaupun wasiat tidak difardukan ke atas umat Islam, tetapi umat Islam dinasihatkan dan digalakkan untuk berwasiat dan hukum berwasiat banyak bergantung kepada keadaan serta situasi seseorang.
Oleh itu, mengetahui hukum berwasiat berupaya mengubah pendirian seseorang dan menetapkan tindakan selanjutnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang beriman, apabila salah seorang kamu menghadapi kematian, sedang dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu atau dua orang yang berlainan agama dengan kamu, jika kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian.” (Surah al-Ma’idah, ayat 106).

Sesungguhnya amalan berwasiat atas harta yang dimiliki mempunyai banyak faedah dan kebaikan jika dilakukan semasa hidupnya antaranya, dapat menjamin pembayaran hutang, pelaksanaan tanggungjawab, amanah dan mengelak berlakunya perebutan harta dan pergaduhan ahli waris.

Apabila berlaku kematian, sebahagian si mati akan membawa bersama hutang-hutangnya bertemu Allah SWT seperti kewajipan zakat, fidiah kerana meninggalkan puasa, haji, kaffarah puasa dan hutang sesama manusia.

Persoalan yang kian genting hari ini, siapakah antara waris yang akan memastikan hutang si mati dilunaskan jika kita tidak pernah memberitahu atau berwasiat kepada orang lain untuk melaksanakannya?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Roh seseorang mukmin itu tergantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutang itu dilunaskan (dibayar).”

Ada umat Islam yang meninggalkan harta (harta alih dan harta tak alih), tanah, bangunan, kenderaan, barang-barang, wang tunai, wang simpanan, saham, pelaburan dan sebagainya dengan berwasiat untuk tujuan kebajikan tidak melebihi 1/3 pusaka dan selebihnya akan diurus mengikut hukum faraid.

Langkah ini secara langsung diharap dapat menjamin harta ditinggalkan si mati untuk tujuan kebajikan melalui wasiat dan akan berkekalan ganjaran pahala yang mengalir kepadanya apabila ia mati kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Selain itu, mengetahui hukum berwasiat juga akan meningkatkan kefahaman waris menjalankan kewajipan masing-masing terutama mengenai kadar 1/3 yang boleh diwasiatkan. Apa yang terjadi, masih ramai yang samar-samar mengenai kadar yang boleh diwasiatkan. Dapatkan penerangan mengenainya minggu depan.

Sumber

: </span> 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan